• Breaking News

    MBOT jadi penggerak pupuk bakat bidang teknologi

     

    bhnews@bh.com.my
    KUALA LUMPUR: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bersedia untuk menjadi penggerak dalam agenda pemupukan bakat dalam bidang teknologi dan teknikal, bagi memenuhi permintaan industri selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

    Ketua Setiausaha Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata inisiatif itu akan dilakukan dengan memastikan pemupukan bakat dan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta berkualiti.

    "Ia sekali gus bagi memenuhi permintaan industri bukan sahaja pada peringkat awal, malah hingga peringkat profesional termasuk mendaftarkan Teknologis dan Juruteknik sebagai profesion ikhtisas selaras dengan fungsi utama MBOT," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dr Siti Hamisah berkata, Dasar 4IR Negara adalah dasar negara yang menyeluruh bagi memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosio-ekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR.

    Dasar itu digubal dengan mengenal pasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu Kecerdasan Buatan (AI); Internet of Things (IoT), Blockchain dan Teknologi Lejar Teragih (DLT), Bahan Termaju dan Disokong oleh Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) dan Analisis Data Raya (BDA).

    Baru-baru ini kerajaan melancarkan Dasar 4IR Negara bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi negara menerusi pembangunan teknologi tinggi.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika majlis pelancaran itu dilaporkan berkata, Dasar 4IR Negara itu akan melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN).

    Katanya, dasar itu membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi di bawah Rangka Kerja 10-10 MySTIE.

    Ketika pelancaran dasar itu juga, kerajaan turut memberi kepercayaan kepada MBOT untuk memainkan peranan yang aktif dalam menerajui usaha tadbir urus 41R Negara menerusi dua komponen kluster iaitu Bakat Digital dan Teknologi Baru Muncul.

    Kluster Bakat Digital akan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja masa hadapan dengan usaha sama awam dan swasta melalui MBOT, manakala Kluster Teknologi Baru Muncul akan memfokuskan kepada pembangunan bakat yang bakal melonjakkan pertumbuhan industri Elektrikal dan Elektronik.

    Berdasarkan statistik oleh Tenaga Buruh 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 28.2 peratus tenaga kerja kemahiran tinggi manakala 59.9 peratus adalah tenaga kerja separuh mahir dan selebihnya adalah tenaga kerja berkemahiran rendah.

    Sumber: https://www.msn.com/en-my/news/berita/mbot-jadi-penggerak-pupuk-bakat-bidang-teknologi/ar-AALUyjc

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad